Dalam bahasa ‘Arab, hari raya disebut ‘Ied kerana ia datang berulang-ulang setiap tahun dengan membawa kegembiraan dan manusia bergembira pada hari tersebut.
Hari ‘Ied dalam Islam adalah ‘Iedul Fithri dan ‘Iedul Adh-ha yang mana umat Islam disyari’atkan bergembira pada hari tersebut dengan kegembiraan yang syar’i serta membesarkan Allah.
Iedul Fithri memiliki pelbagai kebaikan yang akan kembali kepada umat Islam seperti berbuka yang mana sebelumnya diperintahkan berpuasa (iaitu dilarang makan dan minum), pengeluaran zakat fithri sebagai makanan orang-orang miskin, dan diberikan padanya kebahagiaan, kegembiraan, dan kenikmatan.
Dalam rangka meraikan kegembiraan tersebut, umat Islam diharamkan berpuasa dan disunnahkan untuk makan sebelum berangkat solat ‘Ied. Disunnahkan supaya menghias diri dengan mandi di pagi hari, memakai pakaian yang baik, indah, cantik, serta syar’i selari dengan petunjuk Rasulullah dan para sahabatnya. Pakaian yang baik dan cantik tidak semestinya yang baru dan berharga mahal sehingga perlu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membeli-belah. Disunnahkan juga untuk mengenakan wangi-wangian (bagi lelaki) terutamanya ketika pergi melaksanakan solat ‘Ied. Dan di antara yang menguatkan hal tersebut adalah sebagaimana dalil-dalil berikut:
Mandi Di Pagi Raya
Kata Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H): “Dan adalah disunnahkan mandi pada (pagi) hari ‘Ied.” (Syarhus Sunnah, 4/301)
Dari Malik, dari Naafi’, beliau berkata: “Bahawasanya ‘Abdullah bin ‘Umar (sahabat Nabi), beliau mandi pada hari ‘Iedul Fithri sebelum berangkat ke musholla (tempat solat ‘Ied).” (Al-Muwaththa’, no. 609. Al-Umm, 1/231)
Dalam sebuah atsar dari Zaadzaan, beliau berkata: “Seorang lelaki bertanya kepada ‘Ali radhiyallahu ‘anhu tentang mandi, maka ‘Ali berkata: “Mandilah setiap hari jika engkau mahu.” Lelaki tersebut menjawab, “Tidak, maksudnya mandi yang benar-benar mandi?” ‘Ali pun berkata, “Iaitu mandi hari Juma’at, hari ‘Arafah, hari ‘idul Adh-ha, dan hari ‘idul Fithri.” (Al-Umm, 7/163. Sunan Al-Kubra al-Baihaqi, no. 6124. Dinilai sahih sanadnya oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Diriwayatkan dari ‘Urwah bin Az-Zubair bahawa beliau mandi untuk ‘Ied, dan beliau berkata: “Sesungguhnya ia adalah sunnah.” (Ibnu Hajar, At-Talkhish Al-Habir, 2/192)
Memakai Wangi-Wangian Bagi Lelaki
Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata: “Dan disunnahkan juga mengenakan pakaian yang paling baik dari apa yang dimiliki dan mengenakan wangi-wangian.” (Syarhus Sunnah, 4/302)
Berkata Naafi’: “Bahawa Ibnu ‘Umar, beliau mandi pada (pagi) hari ‘Ied seperti mandi janabah, kemudian beliau menyapu wangi-wangian jika ada padanya, dan beliau mengenakan pakaianya yang terbaik. Setelah itu beliau pun keluar menuju musholla (kawasan lapang tempat solat ‘Ied). Apabila telah selesai solat bersama imam, beliau pun pulang.” (Syarhus Sunnah, 4/302. Lihat juga: Mushannaf ‘Abdirrazzaq, no. 5752)
Mengenakan Pakaian Terbaik
Dari Ibnu ‘Umar, bahawa ‘Umar pernah berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika di pasar:
“Wahai Rasulullah, belilah pakaian ini dan jadikan ia untuk hari raya dan ketika menyambut kedatangan para delegasi…” (Shahih Al-Bukhari, no. 948)
Kata Al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H): “Hadits ini adalah dalil tentang anjuran untuk berhias pada hari raya dan ini termasuk kebiasaan yang dilakukan dalam kalangan mereka (para sahabat).” (Fathul Bari, 6/67)
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata: “Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Ad-Dunya dan Al-Baihaqi dengan sanad yang sahih sampai kepada Ibnu ‘Umar, bahawa beliau biasa mengenakan pakaiannya yang terbaik pada dua hari raya.” (Fathul Bari, 2/439)
Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata: “Nabi biasa keluar (ke tempat solat) pada dua hari raya (‘Iedul ‘Adh-ha dan ‘Iedul Fithri) dengan pakaiannya yang terbaik. Beliau memiliki satu hullah (sejenis pakaian atau baju) yang biasa beliau pakai pada dua hari raya dan hari Juma’at. Kadang-kadang beliau memakai dua burda berwarna hijau, sesekali memakai burda merah, dan bukan yang merah pekat sebagaimana difikirkan sebahagian orang.” (Zaadul Ma’ad, 1/441)
Namun, hendaklah dengan pakaian yang syar’i, iaitu bukan pakaian yang terlarang seperti tidak menutup aurat, isbal, pakaian yang menggambarkan ciri-ciri kefasikan, pakaian berupa sutera yang diharamkan bagi kaum lelaki, pakaian yang menyerupai kebiasaan kaum kafir, atau pakaian yang menyerupai pakaian kaum wanita dan seumpamanya.
Makan sebelum keluar untuk solat;
Kata Ibrahim An-Nakha’i: “Bahawa mereka (dari kalangan salaf) menyukai (menganjurkan) agar makan pada ‘Iedul Fithri sebelum keluar ke musholla (kawasan lapang untuk solat ‘Ied).” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 5738)
“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak keluar pada ‘Iedul Fithri sampailah beliau makan lebih dulu, dan beliau tidak makan pada ‘Iedul Adh-ha sampailah selesai solat.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 542. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
“Bahawa sebahagian ahli ilmu menyukai (menganjurkan) agar tidak keluar pada ‘Iedul Fithri sampailah dia makan sesuatu. Dan makanan yang dianjurkan adalah dengan tamr (kurma). Manakala pada ‘Iedul Adh-ha pula, adalah dianjurkan agar tidak makan lebih dulu sampailah selesai solat.” (Sunan At-Tirmidzi, 2/426)
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak keluar di awal pagi ‘Iedul Fithri sampailah beliau makan beberapa kurma.”
Kata Anas lagi:
وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
“Dan Rasulullah memakannya dalam jumlah bilangan ganjil.” (Shahih Al-Bukhari, no. 953)
Keluar awal pagi menuju musholla (tempat solat ‘Ied);
Kata Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 316H):
“Disukai (dianjurkan) agar orang ramai keluar awal pagi menuju musholla setelah solat subuh dan mengambil tempat masing-masing, lalu bertakbir. Adapun bagi imam, dia keluar pada waktu yang bertepatan dengan waktu untuk solat, iaitu ketika matahari telah beranjak naik kira-kira seukuran satu tombak (iaitu ketika telah masuk waktu dhuha – pent.). Kemudian, termasuk hal yang disukai adalah imam mempercepatkan waktu keluar untuk solat pada ‘Iedul Adh-ha dan melewatkan sedikit keluar untuk solat pada ‘Iedul Fithri.” (Syarhus Sunnah, 4/302-303)
Bertakbir di Hari Raya
Ketika menjelangnya ‘hari raya, Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya mengagungkan-Nya dan membesarkan-Nya dengan iringan rasa syukur di atas petunjuk-Nya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (berpuasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah, 2: 185)
Berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala inilah antaranya, maka disunnahkan bagi umat Islam supaya bertakbir, bertahlil, bertahmid, dan bertasbih, atau disebut sebagai takbir hari raya. Umat Islam disunnahkan untuk bertakbir dengan suara yang lantang serta sebanyak-banyaknya di pagi hari raya ketika menuju ke tempat solat (musholla) sehingga selesai ditunaikan solat ‘Ied Al-Fithri.
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau keluar di dua ‘ied (‘Iedul Fithri dan ‘Iedul Adh-ha) bersama Al-Fadhl bin ‘Abbas, ‘Abdullah (bin ‘Abbas), ‘Abbas, ‘Ali, Ja’far, Al-Hasan, Al-Husain, Usamah bin Zaid, Zaid bin Haaritsah, dan Ayman bin Ummi Aiman radhiyallahu ‘anhum, mereka mengangkat suara membaca tahlil (laa ilaaha illallaah) dan takbir (Allaahu Akbar). Mereka mengambil laluan sempit di suatu jalan sampailah tiba di musholla, dan apabila selesai mereka pulang dengan mengambil laluan lain yang lapang sampailah tiba di kediaman masing-masing.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1431. Sunan Al-Kubra al-Baihaqi, no. 6130)
Kata Imam An-Nawawi, “Takbir di hari raya adalah disunnahkan berdasarkan hadits ini.” (Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzab, 5/30)
Imam Az-Zuhri rahimahullah (Wafat: 125H) berkata: “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada ‘Iedul Fithri lalu bertakbir sampai ke tempat solat dan sampai selesai solat. Apabila telah selesai solat, beliau memberhentikan takbirnya.” (Mushannaf Ibn abi Syaibah, no. 5621. Sahih mursal)
Dari Naafi, beliau berkata (tentang Ibnu ‘Umar): “Bahawasanya Ibnu ‘Umar beliau men-jahr-kan (melantangkan suara) takbir pada ‘Iedul Fithri apabila keluar di awal pagi menuju musholla, dan beliau terus melaungkan takbirnya sampailah imam keluar (untuk solat).” (Ahkaamul ‘Iedain lil Firyaabi, no. 47)
Dalam Sunan Ad-Daruquthni: “Bahawasanya beliau (Ibnu ‘Umar) keluar dari masjid (dan menuju ke musholla) pada dua hari raya lalu bertakbir sampailah tiba di musholla (kawasan lapang tempat solat ‘Ied) dan beliau terus bertakbir sampai imam datang (untuk solat).” (Sunan Ad-Daruquthni, no. 1712. Sanadnya sahih)
Kata Abi ‘Abdurrahman As-Sulami rahimahullah (dari kalangan tabi’in): “Bahawa mereka (dari kalangan salaf) lebih lantang (bersemangat) ketika bertakbir di ‘Iedul Fithri berbanding pada ‘Iedul Adh-ha.” (Sunan Al-Kubra Al-Baihaqi, no. 6132. Sunan Ad-Daruquthni, no. 1713. Dinilai sahih sanadnya oleh Al-Albani)
Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H): “Dan berkata jumhur para ulama bahawasanya tiada takbir pada malam ‘Ied, sesungguhnya mereka bertakbir pada waktu awal pagi ketika menuju ke tempat solat ‘Ied sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir dari kebanyakan ulama.” (Al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 5/41)
Kata al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H): “Dan itu semua menunjukkan disyari’atkan mengeraskan takbir ketika keluar menuju tempat solat dua ‘Ied. Dan ini semua diriwayatkan dari ‘Umar, ‘Ali, Ibnu ‘Umar, Abi Qotadah, dan sejumlah tabi’in serta para ulama setelah mereka.” (Fathul Bari, 6/133)
Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H) menegaskan hal ini dengan katanya:
و في الحديث دليل على مشروعية ما جرى عليه عمل المسلمين من التكبير جهرا في الطريق إلى المصلى، و إن كان كثير منهم بدأوا يتساهلون بهذه السنة حتى كادت أن تصبح في خبر كان، و ذلك لضعف الوازع الديني منهم، و خجلهم من الصدع بالسنة و الجهر بها، و من المؤسف أن فيهم من يتولى إرشاد الناس و تعليمهم، فكأن الإرشاد عندهم محصور بتعليم الناس ما يعلمون…
… و مما يحسن التذكير به بهذه المناسبة، أن الجهر بالتكبير هنا لا يشرع فيه الاجتماع عليه بصوت واحد كما يفعله البعض
“Dalam hadits ini terdapat dalil tentang disyari’atkan apa yang diamalkan kaum muslimin iaitu bertakbir dengan suara yang kuat (atau lantang) di jalan-jalan ketika menuju musholla. Walaupun ramai di antara mereka mula meremehkan sunnah ini, sehingga hampir-hampir ada yang menganggap itu hanyalah sekadar berita (dari masyarakat terdahulu). Ini adalah kerana lemahnya semangat agama mereka dan adanya rasa malu untuk menzahirkan sunnah terang-terangan dengannya…
Dan amat baik mengingatkan di sini bahawa mengeraskan (melantangkan suara) takbir tidak-lah disyariatkan padanya dengan cara berjama’ah bersama (seperti koir), tidak pula dengan suara seiringan sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian orang…” (Silsilah Al-Ahaadits Ash-Shahihah, 1/331)
Kaum wanita juga turut disunnahkan agar bertakbir. Ini adalah sebagaimana disebutkan dalam Shahih Muslim dari Ummu ‘Athiyyah, beliau berkata: “Para wanita yang sedang haidh juga keluar, tetapi mereka berada di belakang orang ramai dan mereka turut serta bertakbir bersama orang ramai.” (Shahih Muslim, 890)
Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H): “Dan ini adalah dalil tentang anjuran bertakbir untuk setiap orang pada dua hari raya, dan ia telah pun disepakati (oleh para ulama).” (Syarah Shahih Muslim, 6/179)
Kata al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H): “Dan tidaklah diperselisihkan (di kalangan ulama) bahawa kaum wanita juga turut bertakbir bersama-sama kaum lelaki (di musholla), iaitu jika mereka solat bersama-sama mereka secara berjama’ah. Walau bagaimanapun, hendaklah kaum wanita merendahkan sedikit suara mereka ketika bertakbir.” (Fathul Bari, 6/130)
Seterusnya, di antara bentuk-bentuk lafaz takbir yang diamalkan oleh para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’ain adalah sebagaimana berikut:
Dari Abu ‘Utsman An-Nahdi, Salman mengajari kami bacaan takbir dengan mengatakan: “Bertakbirlah dengan mengatakan:
“Allah maha Besar, Allah maha Besar, Allah maha Besar.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 20581. Sunan al-Kubra al-Baihaqi, no. 6282. Dinilai sahih sanadnya oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)
“Allah maha Besar (2x), tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah. Allah maha Besar, Allah maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah.” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 5650, 5651, 5653)
Atau, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannaf-nya, bahawa ‘Abdullah (ibn Mas’oud) beliau bertakbir dari solat subuh di hari ‘Arafah sampailah ke solat ‘Ashar di hari Nahr (hari raya korban), beliau mengatakan (dalam takbirnya):
“Allah maha Besar (3x), tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah, Allah maha Besar. Allah maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah.” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 5633. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Atau
Dari ‘Ikrimah, dari ‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallhu ‘anhuma, bahawa beliau bertakbir di awal pagi ‘Arafah sampailah ke hari Nafar yang akhir, dan beliau tidak lagi bertakbir sebaik masuknya maghrib hari tersebut; (lafaz takbir beliau adalah):
“Allah maha Besar, Allah maha Besar, Allah maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah. Allah maha Besar lagi maha Agung. Allah maha Besar di atas petunjuk yang diberikan kepada kita.” (Sunan Al-Kubra al-Baihaqi, no. 6280. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Solat ‘Ied
Dalam rangka mengagungkan Allah ini juga, maka umat Islam diwajibkan pula melaksanakan solat ‘Ied berjama’ah bersama-sama imam. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kepada para muslimin dan muslimat yang merdeka iaitu lelaki dan wanita sama ada yang tua mahupun yang muda agar keluar ke tempat solat bagi melaksanakannya. Bagi mereka yang tertinggal, hendaklah dia melaksanakannya secara individu sebanyak dua rakaat. (lihat: Fathul Bari, 2/550. Majmu’ al-Fatawa, 23/161)
Dari Ummu ‘Athiyyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kami (para wanita secara umum), para gadis yang meningkat dewasa (hampir baligh), serta yang belum berkahwin, supaya keluar pada dua hari raya (untuk Solat), begitu juga wanita yang sedang haidh (turut diperintahkan hadir ke tempat solat ‘Ied). Tetapi baginda memerintahkan wanita yang sedang haidh untuk menjauhi tempat solat.” (Shahih Muslim, 890)
Kata Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H): “Berkata Syaikh (guru) kami: adalah disukai (dianjurkan) untuk turut membawa keluar anak-anak, kerana Ibnu ‘Umar beliau membawa keluar dari sesiapa sahaja dari ahli keluarganya yang telah mampu solat pada hari ‘Ied.” (Syarhus Sunnah, 4/320)
Kata Imam Asy-Syaukani rahimahullah: “Hadits tersebut dan hadits-hadits lain yang semakna dengannya menunjukkan disyari’atkan bagi kaum wanita untuk keluar menuju musholla pada dua ‘Ied, tanpa ada perbezaan antara gadis, janda, wanita muda, wanita yang telah tua, wanita yang sedang haidh, dan yang lainnya. Ini berlaku selama mana mereka tidak menjadi sumber perhatian, atau selagi tidak menjadi fitnah, tidak pula terhalang oleh suatu uzur.” (Nail Al-Authaar, 3/351)
Syekh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin pernah ditanya, “Yang manakah lebih utama bagi kaum wanita sama ada keluar solat ‘Ied atau tetap duduk di rumahnya?”
Maka jawab beliau: “Yang afdhal (utama) baginya adalah keluar untuk solat ‘Ied, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan para wanita untuk mendirikan solat ‘Ied, termasuklah para wanita yang hampir baligh dan gadis belum berkahwin. Maksudnya, para wanita yang sepatutnya tidak keluar dari rumah pun, beliau perintahkan untuk keluar…” (Majmu’ Fatawa Ibn ‘Utsaimin, 16/210)
Maka dari sini menunjukkan betapa dituntutnya solat ‘Ied ini kepada umum umat Islam. Sampai-sampai ada dari kaum wanita yang mengadu rakannya tidak punya jilbab (pakaian syar’i bagi wanita untuk keluar) pun turut diperintahkan agar tetap menghadirkan diri dengan cara meminjam pakaian dari yang lainnya. Kata Ummu ‘Athiyyah kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, salah seorang di antara kami ada yang tidak punya jilbab.” Nabi pun bersabda: “Hendaklah saudarinya memakaikan (meminjamkan) untuknya dari jilbabnya.” (Shahih Muslim, no. 890)
Dan hal ini adalah termasuk anjuran bertolong-tolongan dalam rangka melaksanakan kebaikan. Dan kedudukan kaum wanita di musholla adalah di belakang kaum lelaki secara terpisah agar tidak sampai bercampur (iaitu tidak sampai berlaku ikhtilath).
Namun dalam keadaan seperti sekarang yang mana terlalu banyak fitnah-fitnah yang ditimbulkan oleh kaum wanita di sana sini yang adab-adab kewanitaan banyak terabai, para ulama pun berbeza pendapat tentang sunnah keikut-sertaan kaum wanita di hari ‘Ied di musholla.
Kata Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H): “Pada hari ini, para ulama berbeza pendapat tentang keluarnya kaum wanita (ke tempat solat) pada dua hari raya. Sebahagian mereka memberikan rukhshah (keringanan) padanya, manakala sebahagian lain membencinya (melarangnya).
Berkata Ibnul Mubaarak (Wafat: 181H): “Aku tidak menyukai kaum wanita pada hari ini keluar untuk solat dua hari raya.” Pendapat yang semisal juga datang dari Sufyan Ats-Tsauri.
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata, “Sekiranya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat apa yang dilakukan oleh kaum wanita sekarang ini, nescaya beliau pun akan melarang mereka pergi ke masjid sebagaimana kaum wanita bani Isra’il (dilarang ke rumah ibadah mereka).” (Syarhus Sunnah, 4/320)
Lembaga Fatwa Lajnah Ad-Da’imah (‘Arab Saudi), 8/284-286 menyebutkan:
“Berdasarkan dalil-dalil tersebut, apa yang jelas tampak bahawa hukum keluarnya kaum wanita untuk menghadiri dua solat ‘Ied adalah sunnah muakkadah (sunnah yang sangat dianjurkan), tetapi hendaklah dengan syarat mereka menutup aurat dengan benar, tidak ber-tabarruj (berhias diri), sebagaimana yang telah kita ketahui itu semua dari dalil-dalil yang lain. Adapun tentang keluarnya anak-anak (lelaki) yang mumayyiz (yang telah tahu membezakan antara yang baik dan buruk – pent.) untuk melaksanakan solat ‘Ied, solat juma’at, dan selain kedua solat tersebut, maka perkara tersebut merupakan perkara yang ma’ruf dan disyari’atkan berdasarkan dalil-dalil yang banyak pada hal tersebut. Wa billaahit Taufiq.”
Jika Tertinggal Solat ‘Ied Kerana Udzur
Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyatakan: “Apabila tertinggal solat ‘Ied, hendaklah dia solat dua rakaat. Demikian juga dengan kaum wanita dan orang-orang yang berada di rumah serta yang tinggal jauh di pedalaman.” (Shahih Al-Bukhari, 2/23)
Diringkaskan dari kitab Shahih Fiqhus Sunnah, bahawa sesiapa yang tertinggal solat ‘Ied disebab udzur (ada halangan) pada hari pertama (seperti tersalah melihat hilal atau tidak tahu hilal telah terlihat), maka mereka boleh melaksanakannya pada hari yang berikutnya (secara berjama’ah). Jika ditinggakan tanpa sebarang udzur, maka tidak perlu mengqadhanya. (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/529)
Manakala dalam mazhab Asy-Syafi’i, mereka membolehkan mengqadhanya pada bila-bila waktu pun yang dikehendakinya (dalam hari yang sama), sama ada secara berjama’ah mahupun sendirian. (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/528)
Tempat Solat ‘Ied
Kata Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H): “Disunnahkan keluar ke musholla (kawasan lapang) untuk melaksanakan solat ‘Ied, melainkan jika terdapat udzur (halangan) maka solatlah di masjid. Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa mereka kehujanan, maka mereka pun solat ‘Ied di masjid bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Dan diriwayatkan dari ‘Ali bahawa beliau memerintahkan seorang lelaki untuk mengimami solat ‘Ied orang-orang yang lemah di masjid jaami’ sebanyak dua raka’at.” (Syarhus Sunnah, 4/294-295)
Kecuali di Makkah, maka solat ‘Ied semenjak dahulu hingga sekarang ianya dilaksanakan di Masjid Al-Haram. Dan Masjid Al-Haram lebih utama berbanding keluar solat di Musholla. (lihat: Shahih Fiqhus Sunnah, 2/529 – Daar At-Taufiqiyyah)
Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) ketika mengulas hadits Shahih Mulism, no. 889:
“Ini adalah dalil bagi sesiapa yang menganjurkan agar keluar ke musholla (tanah lapang lapang) untuk solat ‘Ied. Dan sesungguhnya inilah yang afdhal (lebih utama) berbanding melaksanakannya di masjid. Dan inilah yang diamalkan orang ramai di kebanyakan negeri. Dan adapun bagi ahli Makkah, maka mereka tidak melasanakan solat ‘Ied melainkan di masjid (Al-Haram) semenjak zaman awal lagi.” (Syarah Shahih Muslim, 6/177)
Perlaksanaan Solat ‘Ied
Solat ‘Ied dilaksanakan tanpa diiringi oleh solat sunnah lainnya (sama ada sebelum mahupun setelahnya), (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 989) dan tidak pula didahulukan dengan adzan mahupun iqamah. (lihat: Shahih Muslim, no. 887) Ia dilaksanakan sebanyak dua raka’at bersama imam dengan 7 kali takbir (tidak termasuk takbiratul ihram) ketika qiyam di raka’at pertama lalu membaca Al-Fatihah dan surah, kemudian 5 kali takbir di raka’at keduanya dan membaca Al-Fatihah serta surah. (lihat: Sunan Abu Dawud, no. 1150, 1152)
Dalam satu riwayat dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, beliau berkata: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertakbir (dalam solat) pada dua hari raya dengan 12 kali takbir, 7 takbir pada raka’at yang pertama dan 5 takbir pada raka’at yang terakhir, selain 2 takbir solat.”(Lafaz dalam Syarh Ma’ani al-Atsar oleh Ath-Thahawi, no. 6744)
Manakala dalam Sunan Ad-Daruquthni: “… selain takbiratul ihram.” (Sunan Ad-Daruquthni, no. 1728. Ma’rifatus Sunan wal-Atsar, no. 6861)
Dan doa istiftahnya dibaca sebaik setelah takbiratul ihram sebelum takbir tambahan. Dan inilah yang dipegang oleh Imam Asy-Syafi’i sebagaimana dalam Al-Umm.
Disunnahkan mengangkat tangan ketika setiap kali takbir yang 7 dan takbir yang 5 (dalam solat ‘Ied) dan ia diamalkan oleh sahabat Nabi Ibnu ‘Umar serta diikuti oleh Imam Ibnul Mubarak, Asy-Syafi’i, Ahmad, dan Ishaq, dan kebanyakan ahli ilmu mengatakan ianya termasuk sunnah. (Syarhus Sunnah, 4/310)
Walau bagaimanapun tidak ada riwayat yang sahih dari Nabi menunjukkan beliau melakukannya.
Kemudian diikuti pula dengan khuthbah setelah selesai solat di atas tanah atau lantai, bukan di atas mimbar. Menurut sunnah, imam berkhuthbah setelah solat dengan sekali khuthbah, bukan dua kali (sebagaimana solat Juma’at). Demikianlah yang dilakukan Rasulullah dan Khulafa’ Ar-Rasyidun. (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/535)
Walau bagaimanapun, pandangan jumhur menyatakan bahawa khuthbah ‘Ied sama dengan khuthbah Juma’at, iaitu dengan dua khuthbah. Wallahu a’lam.
Kemudian, adalah dibolehkan memilih sama ada mahu mendengar khuthbah atau tidak jika memiliki keperluan lainnya. Dari ‘Athaa’, dari ‘Abdillah bin As-Saa’ib, beliau berkata: “Aku pernah menyaksikan (hadir) bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di solat ‘Ied. Setelah melaksanakan solat, Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya kami akan berkhuthbah, sesiapa yang ingin duduk untuk mendengar khuthbah, maka duduklah, dan sesiapa yang ingin beredar, maka dia boleh beredar pergi.” (Sunan Abu Dawud, no. 1155. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dianjurkan Bersedekah Setelah Solat di Musholla
Dari Ibnu ‘Abbas bahawa (beliau berkata): “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat dua raka’at pada hari Al-Fithri tanpa didahulukan solat sebelumnya mahupun sesudahnya. Kemudian beliau bersama Bilal datang ke kaum wanita lalu memerintahkan mereka agar bersedekah. Maka mereka pun melemparkan sedekahnya seraya seorang wanita melemparkan anting-anting dan rantai lehernya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 964)
Abu Sa’iid al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata: “Pada hari ‘Idul Adha atau Idul Fithri, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar menuju ke musholla (kawasan lapang) untuk melaksanakan solat.
Setelah itu, beliau pun berkhutbah dan ketika melintasi kaum wanita, beliau bersabda: “Wahai sekalian wanita, bersedekahlah kalian dan perbanyakkanlah istighfar (memohon keampunan) kerana benar-benar telah diperlihatkan kepadaku kebanyakan kalian adalah penghuni neraka.”
Berkata salah seorang wanita: “Apa sebabnya kami menjadi kebanyakan dari penghuni neraka wahai Rasulullah?”
Beliau menjawab: “Kalian banyak melaknat dan mengkufuri kebaikan suami. Aku belum pernah melihat orang yang kurang akal dan agamanya namun dapat menundukkan lelaki yang memiliki akal yang sempurna berbanding kalian.”
Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan kurang akal dan kurang agama?”
Jawab Rasulullah: “Bukankah kesaksian kalian itu hanya setengah berbanding lelaki?” Mereka jawab, “Benar.” Rasulullah berkata, “Itulah salah satu contoh kurangnya akal. Dan bukankah jika kalian haidh, kalian tidak berpuasa dan tidak solat?”
Mereka pun menjawab, “Benar.” Rasulullah pun berkata, “Itulah sebahagian dari kurangnya agama.” (Shahih Al-Bukhari, no. 304. Muslim, no. 79)
Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) membuat bab dalam Shahihnya: “Perintah Bersedekah dan Pesan yang Disampaikan Imam dalam Khuthbah ‘Ied.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/350)
Juga: “Bab nasihat dan peringatan Imam kepada kaum wanita serta perintah agar mereka bersedekah setelah khuthbah dua ‘Ied.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/356)
Pergi dan Kembali Dari Musholla Melalui Jalan Berbeza
Kebanyakan ahli ilmu menganjurkan agar pergi ke musholla melalui suatu jalan, dan kembali melalui suatu jalan yang lain pula dalam rangka mengikuti Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/532)
Ini antaranya sebagaimana hadits dari Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika hari ‘Ied, beliau memilih jalan yang berbeza.” (Shahih Al-Bukhari, no. 986. Bab: Sesiapa memilih jalan yang berbeza bila pulang pada hari ‘Ied)
Dari Abu Hurairah rahidyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar pada hari ‘Ied (dengan melalui satu jalan), ketika pulangnya beliau melalui jalan yang lainnya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 541. Ibnu Majah, no. 1290, 1291. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1468)
Kata Imam At-Tirmidzi, “Sebahagian ahli ilmu menganjurkan bagi seorang imam jika keluar (pada hari ‘Ied untuk solat) melalui satu jalan yang berbeza ketika pulangnya dalam rangka mengamalkan hadits ini. Dan ini adalah qaul (pendapat) Imam Asy-Syafi’i. Dan hadits Jaabir adalah lebih sahih.” (Sunan At-Tirmidzi, 2/424)
Dikatakan:
“Beliau melalukan demikian kerana ketika berangkat pergi beliau melalui jalan yang jauh dengan tujuan melakukan ketaatan lalu mengharap pahala dengan langkahnya. Manakala ketika pulang beliau memilih jalan yang dekat kerana kembali dari ketaatan. Berkata Asy-Sya’bi: “Datangilah (solat) ‘Ied dengan berjalan kaki. Apabila kembali, maka silalah berkenderaan jika engkau mahu.”.” (Syarhus Sunnah, 4/314)
‘Ali radhiyallahu ‘anhu berkata: “Termasuk dari sunnah adalah berjalan kaki ketika menuju solat ‘Ied, dan disunnahkan makan sebelum keluar (untuk solat ‘Iedul Fithri).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 530. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi dan Al-Albani)
Kata Imam At-Tirmidzi, “Kebanyakan ulama mengamalkan hadits ini, mereka menganjurkan berjalan kaki bagi orang yang akan melaksanakan solat ‘Ied, dan (dianjurkan) agar tidak berkenderaan melaainkan jika ada udzur.” (Sunan At-Tirmidzi, 2/410)
Dan ini adalah jika tempat solat itu dekat serta tidak memberatkan untuk ke sana dengan berjalan kaki, tetapi apabila kenderaan diperlukan (untuk ke tempat solat), maka tidaklah mengapa. (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/532)
Dibolehkan Berhibur Di Hari Raya
Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhuma (binti Abu Bakr), beliau berkata: “Abu Bakr masuk (datang ke rumahku) dan ketika itu di sisiku ada dua hamba kanak-kanak perempuan dari kaum Anshaar. Mereka menyanyikan sya’ir-sya’ir yang dilagukan oleh kaum Anshaar tatkala perang bu’aats. Dan keduanya bukanlah dari kalangan penyanyi. Maka Abu Bakr pun berkata: “Seruling syaithan di rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?” Dan ketika itu adalah hari ‘Ied. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Wahai Abu Bakr, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan ini adalah hari raya kita.” (Shahih Al-Bukhari, no. 952)
Dalam riwayat yang lain, kanak-kanak tersebut turut memainkan duff. (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 987, 3529)
Dalam riwayat yang lain, setelah ‘Aisyah dimarahi Abu Bakr dan Rasulullah pun sedang terleka, ‘Aisyah pun berisyarat kepada dua kanak-kanak perempuan tersebut agar segera beredar. (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 949)
Beberapa faedah dapat diambil dari hadits ini, antaranya:
1, Hadits ini menunjukkan secara umumnya nyanyi-nyayian itu adalah termasuk suatu hal yang dilarang dan nyanyian termasuk alat-alat syaithan sebagaimana dikatakan Abu Bakr dan tidak pula diingkari oleh Nabi.
2, Namun diberikan keringanan oleh Nabi tatkala hari raya yang apabila yang menyanyi itu adalah hamba dari kalangan kanak-kanak perempuan yang bukan dari kalangan penyanyi. Maka dibolehkan mendengar darinya
.
3, Dibolehkan juga bagi kanak-kanak perempuan tersebut memukul duff (kompang) pada hari raya sebagaimana dinyatakan hadits tersebut.
4, Dibolehkan mereka menyanyi dengan baiyt-baiyt lagu yang baik, mubah, dan tidak bertentangan syara’ atau yang keji lagi terlarang sebagaimana dua kanak-kanak tersebut menyanyikan baiyt-baiyt sya’ir ketika perang bu’aats, iaitu peperangan di zaman jahiliyyah antara kabilah Aus dan Khazraj. Sya’ir-sya’ir tersebut adalah sya’ir-sya’ir yang mengungkapkan semangat keberanian tatkala perang dan tidak tercela.
5, Dan hal ini adalah dalam rangka menampakkan kegembiraan di dua hari ‘Ied yang mana ianya tidaklah sama dengan hari-hari biasa lainnya. (lihat: Syarhus Sunnah Al-Baghawi, 4/323) Dan ini adalah selagi mana tidak menimbulkan hal-hal yang mendatangkan fitnah atau tanggapan tidak baik.
6, Dibolehkan melakukan hal-hal yang menggembirakan pada hari raya asalkan bukan dari hal-hal yang terlarang. Kerana hari raya adalah hari untuk bersenang-senang dan berbahagia. Dan bergembira di hari raya adalah termasuk syi’ar agama.
7, Dibolehkan untuk mengunjungi rumah anak-anak atau menantu, atau kaum kerabat dekat pada waktu hari raya sebagaimana perbuatan Abu Bakr mengunjungi anaknya ‘Aisyah dan menantunya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
8, Hadits tersebut menunjukkan jalinan kasih-sayang di antara sesama keluarga pada hari raya. Sekaligus di sini menunjukkan bahawa dalam rangka menyemarakkan hari raya sebagai hari kebahagiaan dan kegembiraan, maka dibolehkan menjadikan hari tersebut sebagai waktu yang diluangkan atau waktu berkumpul bersama-sama keluarga, berkunjung ke rumah anak atau keluarga dekat, dan berhibur sebagaimana dalam hadits.
Namun perlu diperhatikan baik-baik agar tidak sampai salah faham, bahawa hadits ini tidaklah menunjukkan halalnya nyanyian secara mutlak, dan jika dikumpulkan hadits-hadits yang seumpama maka akan kita temui bahawa nyanyian hanya dibenarkan pada beberapa keadaan tertentu yang khusus iaitu seperti ketika walimatul ‘urus (majlis perkahwinan) dan ketika hari ‘Ied, dan yang menyanyi pula adalah dari kalangan kanak-kanak perempuan (dari kalangan jariyah), dan alat yang dibenarkan jika mahu digunakan hanyalah duff (kompang). Dan mereka tidaklah diambil dari kalangan penyanyi, tetapi sekadar kanak-kanak perempuan biasa.
9, Dibolehkan seorang ayah memberi pendidikan atau nasihat kepada anaknya walaupun si anak tersebut telah berkahwin.
10, Seorang anak atau seorang murid apabila melihat sesuatu yang tidak disukai oleh ayahnya atau sang guru, maka dia haruslah segera memperbaiki keadaan dan tidak bertindak melawan, dan ini adalah termasuk dalam rangka adab, menghormatinya, serta memuliakannya.
Dibolehkan juga bermain atau menonton permainan tertentu yang mubah seperti contohnya bermain tombak. Iaitu sebagaimana dalam suatu hadits, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata: “Pada hari raya orang-orang Sudan bermain perisai dan tombak. Sama ada aku yang bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, atau Nabi yang berkata kepadaku, “Adakah engkau ingin menontonnya?” Maka akupun jawab, “Ya.” Kemudian aku pun berdiri di belakang beliau dan pipiku menyentuh pipi beliau. Dan beliau berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah.” Sampailah apabila aku sudah bosan, beliau pun berkata, “Sudah puaskah?” Aku jawab, “Ya.” Maka beliau berkata, “Kalau begitu, pergilah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 950)
Dalam riwayat lain disebutkan permainan tombak berlangsung di masjid. (lihat: Shahih Al-Bukhari,no. 454)
Dalam Shahih Muslim, dari ‘Aisyah beliau berkata: “Orang-orang Habsyah datang pada hari raya di masjid seperti orang menari. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memanggil aku, maka aku pun meletakkan kepalaku di atas bahu beliau. Aku pun menonton mereka bermain (tombak) sampailah aku berpaling dari melihat mereka.” (Shahih Muslim, no. 892. Bab: Rukhshah pada permainan yang tiada maksiat padanya di hari raya)
Dari hadits ini dapat diambil beberapa faedah yang antaranya:
1, Dibolehkan membuat pertunjukkan senjata atau memainkan permainan yang mubah ketika hari raya dalam rangka berhibur dan bergembira.
Kata Imam Abu Ubaid rahimahullah: “Dan yang dimaksudkan di sini adalah rukhshah (keringanan) untuk menonton hiburan atau permainan, namun ini bukanlah hujah untuk menonton permainan yang dilarang darinya seperti persembahan mazaahir (alat muzik bertali) dan mazaamiir (alat muzik bertiup).” (Syarhus Sunnah, 4/325)
2, Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H), “Pada hadits ini menunjukkan bolehnya bermain dengan senjata dan yang sejenis dengannya berupa alat-alat untuk berperang di dalam masjid. Demikian juga dengan segala sarana untuk berjihad dan pelbagai bentuk kebaikan.” (Syarah Shahih Muslim, 6/184)
3, Dibolehkan kanak-kanak perempuan (seperti seusia ‘Aisyah) untuk menonton permainan yang dimainkan oleh kaum lelaki ketika hari raya selagi mana tidak terfitnah.
4, Meraikan dan melayani kanak-kanak dengan cara yang baik ketika hari raya agar mereka gembira.
5, Dari dua hadits ini (hadits kanak-kanak perempuan menyanyi dan hadits bermain tombak), menunjukkan adanya penjelasan dibolehkan untuk menjadikan waktu hari raya sebagai waktu bersenang-senang dan bersantai bersama isteri atau keluarga.
Adapun yang dimaksudkan seperti orang menari dalam hadits tersebut, kata Imam An-Nawawi rahimahullah: “Dan maksudnya sebagaimana dimaksudkan para ulama adalah mereka memainkan senjata sambil melompat, dan permainan tombak yang mereka lakukan tersebut seakan-akan dalam keadaan menari kerana sebahagian besar riwayat menjelaskan hal tersebut terjadi ketika bermain tombak. Oleh itu, lafaz hadits ini difahami berdasarkan riwayat-riwayat yang lain.” (Syarah Shahih Muslim, 6/186)
Manakala dalam sebahagian riwayat lain turut disebutkan dengan lafaz “يَزْفِنُونَ”, iaitu maksudnya mereka melompat, mengelak, dan mengatur langkah bersesuaian dengan gerakan orang bermain pedang dan senjata atau seperti orang sedang bersilat.
Dan harus diingat agar jangan sampai salah faham bahawa hadits ini bukanlah dalil dibolehkan untuk menari-nari dan berjoget-lambak di hari raya..
Peringatan dan Renungan
Seiring dengan perintah mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta’ala, kita perlulah berusaha sedaya-upaya untuk meninggalkan apa jua bentuk maksiat atau perbuatan menyambut hari raya dengan amalan-amalan yang bid’ah dan mungkar. Malah hari raya ini sendiri diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala antaranya sebagai ganti kepada bentuk-bentuk perayaan kaum jahiliyyah terdahulu.
Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu berkata: “Ketika mula-mula Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang ke Madinah, penduduk Madinah ketika itu memiliki dua hari khusus untuk bergembira yang padanya mereka selalu bermain-main di masa Jahiliyah. Maka beliau kemudian bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mengganti dua hari tersebut dengan yang lebih baik lagi darinya. Iaitu ‘Ied al-fithri dan hari an-Nahr (‘Ied al-adh-ha).” (Musnad Ahmad, no. 12006. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)
Amatlah mendukacitakan apabila ada di kalangan umat Islam hari ini yang meraikan ‘Ied al-Fithri ini dengan bermain mercun, menggabungkannya dengan perayaan-perayaan kaum kuffar (ala jahiliyyah), meraikannya dengan tabarruj (memperagakan kecantikan), berpakaian mendedah aurat, ikhtilath di antara lelaki dan wanita, berpesta dan konsert, berjoget dan menari, tayangan filem penuh maksiat dan khurafat, berzanji marhaban, serta seumpamanya. Ini semua amat bertentangan dengan rangka mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berpandukan petunjuk yang diberikan-Nya. Wallahu a’lam.
Ucapan Di Hari Raya
Terdapat riwayat yang datang dari para sahabat radhiyallahu ‘anhum bahawa mereka saling mengucapkan selamat di hari raya dengan ucapan:
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
“Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan dari kalian.”
Dari Jubair bin Nufair, beliau berkata: “Dahulu para sahabat Nabi Shalallahu’alaihi wa Sallam apabila saling bertemu pada hari ‘Ied sebahagian mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain (dengan ucapan):
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
“Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan dari kalian.” (Fathul Bari, 2/446. Tamamul Minnah, m/s. 354)
Imam Ahmad rahimahullah berkata, “Tidak mengapa seseorang mengucapkan kepada seseorang yang lainnya pada hari ‘Ied (dengan ucapan):
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
“Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan kamu.”
Harb berkata, “Ketika Imam Ahmad ditanya tentang ucapan orang ramai pada dua ‘Ied (dengan ucapan): Taqabbalallaahu minnaa wa minkum, beliau berkata, “Tidak mengapa dengannya, ia diriwayatkan oleh penduduk Syaam dari Abu Umaamah.”.” (Al-Mughni, 4/274)
Ibnu ‘Aqiil menyebutkan beberapa hadits tentang ucapan tahniah di hari ‘Ied, di antaranya, Muhammad bin Ziyad berkata, “Aku sedang bersama Abu Umaamah Al-Bahili dan para sahabat yang lain. Apabila mereka kembali dari solat ‘Ied, maka sebahagian mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain (dengan ucapan):
تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك
Dan berkata Imam Ahmad, “Hadits Abu Umaamah isnadnya jayyid (bagus).”
‘Ali bin Tsaabit berkata, “Aku pernah bertanya kepada Imam Malik bin Anas (tentang ucapan tersebut) pada 35 tahun yang lalu, dan beliau berkata, “Masih dikenal (berlangsung) hal tersebut di Madinah.”
Diriwayatkan dari Imam Ahmad bahawa beliau berkata, “Aku tidak mendahului untuk mengucapkannya kepada seseorang, tetapi bila ada seseorang yang mengucapkannya, maka aku membalasnya.” (Al-Mughni, 4/274)
Dalam nukilan yang lain, Imam Malik ditanya tentang ucapan pada hari raya:
“Semoga Allah mengampuni kami dan engkau, semoga Allah menerima (amal-amal yang soleh) dari kami dan engkau.”
Imam Malik pun berkata: “Aku tidak mengenalnya dan tidak mengingkarinya.” (Al-‘Abdari, Al-Taaj wal Ikliil, 2/301)
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah mengatakan tentang hal ini, kata beliau: “Adapun memulai mengucapkan tahniah (ucapan selamat) kepada orang lain (sempena hari ‘Ied) maka ia bukanlah sebahagian dari sunnah yang dianjurkan, dan bukan pula sesuatu yang dilarang dalam syari’at. Sesiapa yang melakukannya maka dia memiliki qudwah (teladan), dan orang yang meninggalkannya pun memiliki qudwah (teladan). Wallahu a’lam.” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/253)
Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Ustaimin rahimahullah pernah ditanya, “Apa hukum tahniah (ucapan selamat) sempena hari raya? Adakah ada padanya bentuk ucapan tertentu?”
Maka jawab beliau rahimahullah: “Ucapan tahniah (atau selamat) di hari ‘Ied adalah boleh, dan tidak ada padanya bentuk ucapan tertentu yang khusus. Sebaliknya apa yang pada adat kebiasaan yang dilakukan orang, maka itu boleh selagi mana bukan perbuatan dosa.”
Beliau rahimahullah juga ditanya, “Apa hukum bersalaman tangan, berpelukan, dan saling mengucapkan selamat hari raya ketika selesai solat ‘ied?”
Jawab beliau rahimahullah: “Semua perbuatan ini tidaklah mengapa. Kerana orang yang melakukanya tidak bermaksud untuk rangka ibadah dan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan mereka melakukannya atas dasar adat, saling memuliakan, dan saling menghormati. Dan selagi adat tersebut tidak bertentangan dengan larangan syari’at, maka hukum asal padanya adalah boleh.” (Majmu’ Fatawa Ibn ‘Utsaimin, 16/208-210)